Saturday, April 27, 2019

Chapter 19: Tabebuia Rosea


"The focus of 'Flower' is emotion and to make you feel peaceful."
Jenova Chen




Assalamualaikum and selamat pagi. Hari ini perkongsian Izzy merupakan sebuah cerpen yang ditulis sendiri oleh Izzy sempena terbitnya pokok bunga ala-ala Sakura di UKM pada tahun yang lalu.

Seolah-olah di Jepun


   “Anak puan disahkan menghidapi End Stage Renal Disease (ESRD) atau penyakit buah pinggang peringkat akhir”, kata Doktor Adirah. Aku dapat rasakan betapa luluhnya dan hancurnya hati mama apabila tahu kakak menghidapi penyakit tersebut. Aku pun seperti itu, siapa sangka kak Medina seorang yang cergas dan sentiasa tersenyum akan melalui satu peringkat yang menyakitkan sepanjang hidupnya. Hancurnya hati mama sehingga dia tak mampu untuk meluahkan kata-kata. Aku hanya mampu berdiri dan memeluk bahu mama untuk menenangkannya. Bila-bila sahaja air mata mama akan mengalir seperti sungai yang deras mengenangkan nasib yang menimpa kami sekeluarga. Ya, detik pahit ini kami telan bersama-sama kerana kami sebuah keluarga. Bukankah keluarga itu perlu saling menyokong antara satu sama lain?

    Doktor Adirah menerangkan penyakit ESRD itu dan rawatan yang akan dijalankan. “Secara umumnya, penyakit buah pinggang peringkat akhir, berlaku apabila buah pinggang kehilangan fungsi secara berperingkat. Pada peringkat ini, buah pinggang tidak dapat menjalankan fungsi dengan sebaiknya. Ginjal kita berfungsi untuk menapis sisa dan lebihan cecair daripada darah, di mana sisa dan lebihan cecair ini diekskresikan ke dalam air kencing. Apabila, ginjal kita kehilangan kemampuan untuk menapis, paras cecair yang merbahaya, elektrolit dan sisa akan berkumpul di dalam badan. Hal ini yang menyebabkan berlaku ESRD. Saya sarankan anak puan menjalani rawatan dialisis tetapi rawatan ini tidak begitu mudah seperti yang puan sangkakan. Anak puan perlu kuat untuk menjalani rawatan ini. Sekiranya tidak, rawatan terakhir ialah pemindahan buah pinggang. Untuk rawatan ini kita boleh menunggu penderma buah pinggang atau puan dan sekeluarga ada yang sanggup untuk menderma saya sangat galakkan”, terang Doktor Adirah.

    Selesai sahaja pertemuan dengan Dr. Adirah, mama dan aku pulang ke rumah. Kakak dijaga oleh Nek Som iaitu pembantu rumah memandang esok masih hari bekerja dan aku perlu ke kuliah. Mama jelas kelihatan murung memikirkan keadaan kakak. Kami berharap yang ujian dijalankan ke atas kami akan menunjukkan hasil positif. Untuk menunggu penderma organ terutamanya buah pinggang memakan masa yang lama. Jadi, aku dan mama sanggup menderma buah pinggang kami kepada kakak.

    Seminggu berlalu, dan nampaknya nasib tidak menyebelahi kami apabila hari yang ditunggu-tunggu menunjukkan kami berdua tidak sesuai untuk menderma buah pinggang kepada kakak. Mama semakin buntu dan jarang-jarang turun makan. Dia hanya duduk di dalam bilik membuat kerjanya dan hanya menerima panggilan jika perlu. Aku juga stress memikirkan keadaan kakak ditambah pula dengan tugasan yang diberi pensyarah semakin banyak.


Tabebuia rosea - Tabebuia rosea juga dikenali sebagai pokok tekoma di Malaysia adalah pokok neotropikal yang tumbuh sehingga 30 m (98 kaki) dan boleh mencapai diameter pada ketinggian dada hingga 100 cm (3 kaki). Ketahanan bunga tekoma sebelum ia luruh dan berkembang penuh bergantung kepada suhu panas musim kemarau. Bunga tersebut akan mula gugur sepenuhnya sekiranya hujan mula turun. Mempunyai berbagai-bagai warna seperti warna putih, merah jambu, kuning, lavender, magenta, dan merah.

“Seolah-seolah berada di Jepun, pokok bunga sakura (Malaysia) menghiasi pemandangan sekitar UKM”

    Najwa membaca kuat tajuk berita di tablet miliknya, mengganggu aku yang sedang sibuk memikirkan masalah aku sekeluarga. “Jom kita pusing-pusing UKM Athi”, sampuk Najwa. Aku hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepala sebagai respon terhadap soalannya sebentar tadi. “Janganlah stress, aku tahu yang kau tengah ada masalah. But life must go on beb”, pujuk Najwa. Betul apa yang dikatakan oleh Najwa tetapi dia tidak akan faham apa yang aku sedang rasa sekarang ini. Sudah menjadi lumrah kehidupan, selagi tak kena batang hidung sendiri manusia tidak akan dapat rasa apa yang manusia lain alami. Itulah Homo sapiens, karya teragung ciptaan tuhan yang begitu kompleks kewujudannya.

    “Ramainya orang. Memanglah orang sekarang viral sikit je terus nak serbu tempat tu”, kata Najwa sambil matanya melilau memerhati sekekeling. Kereta Axia berwarna merah milik Athifah yang dihadiahkan oleh mama 6 bulan lalu diparkir di bahu jalan. “Kau turunlah aku tunggu dalam kereta sahaja”, kata Athifah. “Okay, bagi aku 15 minit lepas tu kita gerak”, kata Najwa sambil membuka pintu kereta untuk turun. Athifah ralit memerhati sebuah keluarga yang sibuk bergambar di bawah pokok sakura Malaysia itu. Keluarga itu persis seperti keluarganya sekiranya papa tidak pergi tinggalkan mereka untuk pulang ke Jepun. “Papa”, kata Athifah perlahan. Akhirnya terucap perkataan keramat tersebut daripada mulut Athifah setelah sekian lamanya dia tidak mengucapkan perkataan tersebut. Terus muncul satu buah fikiran yang belum difikirkannya sebelum ini.

    “Mama tak benarkan Athi pergi. Athi tahukan kat sana bahaya dan apa yang keluarga lelaki tu boleh buat pada Athi. Cukuplah apa yang menimpa pada kak Medina, mama tak sanggup untuk kehilangan Athi juga”, kata Puan Husnina dengan tegasnya. “Mama lelaki tu suami mama dan juga papa Athi dan Kak Medina. Dan lagi satu mama tak kehilangan sesiapa pun. Kak Medina dan Athi masih ada di sini cuma keadaan sekarang yang tidak menyebelahi kita”, kata Athifah lembut dengan harapan mama akan termakan pujukannya ini. “Tak mama takkan benarkan Athi ke sana. Banyak lagi alternatif yang kita boleh cari untuk selamatkan Kak Medina”, kata Puan Husnina tegas dan terus berpaling ke belakang. Athifah diam seketika. Dia memberi peluang untuk mama menelan segala kepahitan yang dia rasa. Mama memang cukup pantang apabila kami atau orang lain menanyakan tentang papa. Setelah Athifah merasakan mamanya susah sejuk dan stabil dia cuba untuk memujuk mamanya kembali. “Mama, tolonglah benarkan Athi ke sana. Athi sayangkan Kak Medina macam mana mama sayangkan dia. Kita usaha mama. Mungkin ini salah satu jalan penyelesaian yang Allah S.W.T tunjukkan untuk kita”, kata Athifah sambil dia memeluk Puan Husnina daripada belakang. Puan Husnina mengeluh. Dia kenal sangat perangai anaknya yang keras kepala itu. Kalau itu yang dikata, itulah juga jawapannya. Sikap Athifah yang tidak mahu mengalah ini mengingatkan dia pada seseorang. “Baiklah, mama benarkan tapi hanya 4 hari sahaja Athi ke Jepun. Selepas itu, jumpa atau tidak mama nak Athi pulang ke Malaysia”, kata Puan Husnina. Athifah tersenyum dan menghadiahi Puan Husnina satu ciuman di dahi sebagai tanda terima kasih kerana membenarkannya untuk ke Jepun.

    Lamunannya terhenti apabila pemandu teksi itu mengatakan bahawa dia telah sampai di destinasinya. Athi mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi itu dan terus melangkah ke dalam hotel.

    Keesokkan harinya, selepas solat Subuh Athifah terus bersiap dan turun ke bawah untuk sarapan pagi. Misinya hari ini untuk ke rumah papanya. Alamat rumah dan gambar telah diberikan oleh mama. Dia merasa sangat gementar tetapi gembira kerana akan bertemu dengan papa. Apa reaksi papa apabila melihatnya? Anak yang tidak pernah dijumpainya.

    Athifah menaiki teksi ke sana dan malangnya rumah tersebut sudah tidak berpenghuni. Menurut orang setempat, papa Athifah sudah lama berpindah kira-kira 20 tahun yang lalu. Athifah cuba untuk mendapatkan maklumat tentang di mana papanya berpindah. Tetapi mereka tidak mengetahuinya. Hari itu diakhiri dengan begitu sahaja. Athifah pulang dengan hampa. Sampai sahaja di bilik dia terus menghempaskan badannya di atas katil yang empuk itu. Dia berbaring di atas katil dan termenung sambil memikirkan bagaimana dia ingin mencari papanya. Kadang-kadang lamunannya terhenti dan dicampur dengan memori bersama-sama kakaknya ketika dia kecil. Lantas dengan itu, dia teringat sesuatu yang pernah dikongsi oleh kakaknya tentang papa. Dari situ dia tahu yang papa tidak jahat dan dia yakin papa meninggalkan mereka kerana bersebab. “Papa dulu seorang peniaga sebab papa pandai buat takoyaki. Setiap malam papa akan buka gerai dihadapan rumah kita dan menjual di sana”, cerita kak Medina kepadanya. Kadang-kadang dia cemburu pada kakaknya kerana pernah mempunyai memori bersama-sama papa. Dia, belum tentu papa tahu tentang kewujudannya di dunia ini.

    Keesokkannya, Athifah berusaha mencari setiap kedai yang menjual takoyaki untuk mencari papa. Firasatnya kuat mengatakan papa akan membuka kedai takoyaki di sini untuk menyara keluarganya. Setiap kedai dicari dan ditanya tetapi jawapannya tetap sama. Tidak, mereka tidak mengenali atau pernah mendengar tentang lelaki ini. Akhirnya, dia berehat di sebuah gerai makan yang terletak di sebelah pokok sakura yang sangat besar. Hari sudah lewat malam dan Athifah sudah penat mencari. Esok merupakan hari terakhir untuk dia mencari papanya. Dia hampa dan kecewa. Mungkin betul apa yang mama katakan. Dia tidak akan pernah menjumpai papanya. Mungkin dia sudah bahagia bersama keluarganya yang lain. Sambil mengeluh memikirkan tentang permasalahannya, tiba-tiba bahunya ditepuk oleh seseorang. Dia terkejut dan berpaling ke belakang. Seorang lelaki yang berumur lebih kurang 17 tahun menegurnya. “Miss, why are sitting outside alone? Come inside and try our halal food.” kata lelaki itu dengan manisnya tetapi mempunyai nada yang teragak-agak. “Mungkin masih belum fasih berbahasa Inggeris”, teka Athifah. Memandangkan Athifah berasa sangat lapar dia masuk ke dalam kedai sambil mengikuti langkah lelaki itu.

    Sambil menunggu pesanan, dia melihat dekorasi kedai ini yang sangat unik berbanding gerai makanan Jepun yang lain. Pesanan makanan Athifah telah siap dan dihidangkan di hadapannya. Sebelum lelaki itu pergi, sempat Athifah bertanyakan soalan. “Did you know this guy?” tanya Athifah sambil menunjukkan gambar papa. “He is my father.Why?” tanya lelaki itu semula kepada Athifah. Athifah terkejut dengan jawapan lelaki tersebut. “Wait here, I will call him at the back”, kata lelaki tersebut sambil melangkah ke bahagian belakang yang mana bahagian dapur berada.

    Athifah menunggu dengan penuh debaran. Akhirnya lelaki yang ditunggu-tunggu muncul juga. Wajah dan tubuh badannya persis dengan apa yang kak Medina gambarkan. Wajahnya berbentuk bujur, tubuhnya sedikit gempal, kulitnya yang putih melepak dan rambut hitamnya yang begitu lebat. Athifah hanya mampu mengalirkan air mata yang jelas menunjukkan kerinduannya pada insan yang satu ini.

    “Kak Medina sakit”, itu sahaja yang mampu Athifah katakan. Kyoichi Toma mendengar sambil memerhatikan anak perempuannya yang tak pernah dia temui sebelum ini. Iras mukanya mengingatkan dia pada Husnina membuatkan hatinya bertambah sebak. “She need you.I know I come not at the right time. But please help us. We can’t lose her”, rayu Athifah. Athifah tahu dia tidak patut meminta yang bukan-bukan pada pertemuan pertama mereka. Tetapi itu sahaja jalan yang mampu menyelamatkan kakaknya dan memperbaiki semula hubungan papa dan mama. “Give me a time to think and discuss we my son about it”, kata Kyoichi Toma. Athifah mengangguk kepala dan memberi ruang untuk mereka berbincang. Setelah 30 minit masa berlalu, Kyoichi Toma keluar. “I will help Medina because she my child”, kata Kyoichi Toma. Athifah berasa sebak dan gembira lalu memeluk Kyoichi Toma tanpa dia sedari.

    Kepulangan mereka disambut oleh Encik Rahmat iaitu jiran Athifah. Alasannya, mama terlampau sibuk dengan kerja dan untuk menguruskan kak Medina di hospital. Tidak tahu itu hanya alasan bagi mama untuk tidak bertemu papa atau tidak. Hanya Puan Husnina sahaja yang tahu. Keesokannya, kami sekeluarga ke hospital untuk melakukan ujian kesihatan ke atas papa. Berita gembira kami terima. Ginjal papa sesuai untuk didermakan kepada kak Medina tetapi papa perlu mengurangkan berat badannya dalam tempoh 2 bulan sebelum pembedahan itu dijalankan. Sepanjang tempoh itu, papa akan tinggal bersama-sama kami. Layanan yang mama berikan masih sahaja dingin kepada papa. Aku berasa kesian kepadannya namun hati mama masih sukar untuk dipujuk. Tetapi aku tidak berputus-putus berdoa kepada Allah S.W.T agar mama memaafkan papa.

    Sepanjang tempoh itu papa juga cuba menjernihkan hubungannya dengan mama. Aku nampak usaha itu dan kadang-kadang aku turut membantu papa dalam memperbaiki semula hubungannya dengan mama. Sehingga papa akhirnya membuka mulut tentang kepulangannya ke Jepun semula ketika kak Medina masih kecil dan aku masih berada dalam kandungan.

    Mama berkenalan dengan papa melalui Ayane Eriko iaitu sahabat baik mama dan papa. Mereka bertiga sering bersama-sama samada di unversiti ataupun di luar. Ayane sangat baik kerana sering membantu mama sepanjang mama berada di Jepun. Tanpa sedar, papa telah jatuh cinta pada mama dan juga kepada islam. Hubungan mereka menjadi lebih rapat membuat Ayane berasa tersisih dan cemburu. Apabila papa menganuti islam dan menyatakan hasratnya untuk mengahwini mama, keluarga papa membantah dan tidak bersetuju dengan keputusan itu. Tetapi kerana cintanya papa pada islam dan mama akhirnya papa mengajak mama pulang ke Malaysia dan mendirikan rumah tangga di sana. Keberangkatan papa ke Malaysia menyebabkan Ayane murung dan mengalami depresi. Di Malaysia, papa dan mama tinggal di rumah sewa yang agak kecil. Keadaan mama yang merupakan anak yatim piatu dan tidak mempunyai keluarga terdekat yang lain semakin menyulitkan keadaan. Papa terpaksa bekerja sambilan untuk menyara keluarganya.

    Sehinggalah satu hari, panggilan dari Jepun untuk papa menandakan kemelut ini semakin sukar untuk diselesaikan. Panggilan tersebut merupakan panggilan daripada ibu Ayane yang memujuk papa untuk pulang ke Jepun kerana keadaan anaknya yang semakin kritikal. Disebabkan rasa kesian dan terhutang budi dengan keluarga Ayane yang sememangnya papa rapat sejak daripada kecil menyebabkan papa mengambil keputusan untuk pulang ke Jepun. Dengan hati yang berat papa meninggalkan mama dan berjanji akan pulang sebelum aku dilahirkan. Siapa sangka keberangkatan itu bukan menjanji sebuah kepulangan tetapi pemergian yang tak begitu pasti kepulangannya.

    Di Jepun, papa diminta untuk mengahwini Ayane sebelum kemurungannya menjadi semakin teruk sehingga boleh membawa kematian. Tanpa rela papa berkahwin dengan Ayane. Semua media untuk berhubung dengan mama telah disekat oleh keluarga papa. Hasil perkahwinan tersebut lahirlah seorang perwira mirip wajah Ayane. Tetapi perkahwinan itu tidak bertahan lama kerana Ayane terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika pulang daripada kerja. Sebelum meninggal dunia Ayane ada meninggalkan sepucuk surat kepada mama.

    Air mata mama berderai laju setelah membaca surat milik ayane. “I am sorry for not being good friend for you”. Dia turut memuji papa kerana baginya papa ialah lelaki paling terbaik yang pernah dia jumpai. Kesetiaannya pada mama membuat Ayane sedar akan cinta papa terlalu dalam terhadap mama. Setiap kali sebelum tidur Ayane tahu papa akan melihat gambar milik mama dan anak perempuannya. Ayane juga berhajat untuk ke Malaysia untuk meminta maaf kepada kami kerana merampas papa tetapi malangnya takdir lebih menyayanginya.

    Mama menangis selepas mendengar cerita papa. Dia tidak tahu apa keperitan yang dilalui oleh mereka berdua di sana. Sepanjang tempoh 3 bulan untuk papa menguruskan badan bagi mencapai berat badan yang ideal untuk proses pemindahan ginjal buat Kak Medina, aku dapat melihat bagaimana hubungan papa dan mama menjadi semakin baik dan harmoni. Akhirnya Allah S.W.T membuka pintu hati mama untuk memaafkan papa setelah lama api kemarahan itu terus membara dalam hati mama.

    Akhirnya, hari yang dinanti-nantikan oleh semua telahpun tiba. Ujian kesihatan dijalankan dan papa berjaya untuk menurunkan berat badan. Pemindahan ginjal berjaya dijalankan dan kami hanya menunggu bagi tempoh untuk papa dan kak Medina untuk sembuh.

   “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku petunjuk untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebaikan di jalan yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh”, kata Athifah menunjukkan perasaan syukur kepada-Nya atas segala kenikmatan dan kebaikan yang diberikan. Selesai solat subuh Athifah turun ke bawah membantu ibunya menyediakan juadah untuk mereka berkelah sebentar lagi.

    Di bawah pokok sakura yang mekar berkembang, kami sekeluarga sedang rancak berborak antara satu sama lain. “Kore o mite, kore wa sakunen, marēshia o sakaseru sakuradesu. Kanari tadashī? We call it Malaysian Sakura”, kata Athifah dengan teragak-agak kerana dia masih tidak fasih berbahasa Jepun kepada Kyoichi Izumi. Dia menunjukkan pokok tekoma atau sakura Malaysia yang sedang mekar di Malaysia melalui gambar di telefon pintarnya. Kyoichi Izumi atau Muhammad Izumi merupakan anak lelaki hasil perkahwinan papa dan Ayane. Izumi sekarang mengambil alih perniagaan papa di Jepun manakala papa membuka perniagaan baharu di Malaysia. Setiap kali cuti panjang kami sekeluarga akan melawat Izumi di sini. Kak Medina semakin sembuh dan memulakan perniagaan atas taliannya yang menjual barangan kecantikan muslimah dari Jepun.

    Perkelahan di bawah pokok Sakura sangat bermakna bagi aku kerana sakura-lah yang menemukan kami sekeluarga kembali. Kecantikan bunga sakura melambangkan kegembiraan yang terlahir dalam diri aku. Tidak ada orang yang tidak gembira melihat hamparan keindahan alam sekitar ciptaan tuhan yang tersergam dengan luasnya. Tetapi bukan semuanya akan menjadi indah kerana setiap kehidupan pasti ada halangan dan cabaran yang perlu dihadapi.

    Jadi, kesedihan itu tidak harus diratapi. Kesedihan itu adalah sebagian kecil dari seni untuk meniti kehidupan. Kesedihan akan menjadi tonggak kebahagiaan sekiranya kita tidak berputus asa dalam mengharungi ujian hidup. Bunga ini begitu tepat untuk melukiskan kebahagiaan dan kesedihan pada waktu yang sama karena begitulah lumrah hidup.

    Bunga sakura mengingatkan manusia agar selalu bersyukur sebagai penghargaan atas kehidupan dan kesedihan. Bunga kehidupan ini sebagai peringatan bahawa segala hal memiliki pro dan kontra, di mana ada senang dan sedih, ada hidup dan mati. Bunga kehidupan itu memberikan keindahan bagi jiwa-jiwa tidak tenang. Jiwa-jiwa yang terus mencari makna kehidupan yang sesungguhnya. Sedangkan makna kehidupan itu tidaklah jauh, ia ada di dalam jiwa.


Lagu Pilihan: My Love daripada Lee Hi
                    (https://www.youtube.com/watch?v=2esIsqSXJa8)


"Your smile, even your scent
I’ve always waited, counting down with my fingers
No matter where I am, it’s only you"
I.O.I


With Love, I.

Tuesday, April 23, 2019

Chapter 18: Dinner UPKKM


"I have learned that friendship isn't about who you've known the longest, it's about who came and never left your side."
 Yolanda Hadid


Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ni nak bercerita tentang Dinner UPKKM yang telah berlangsung pada 19 April 2019. Kali Izzy akan menceritakan tentang pengalaman Izzy menjadi Majlis Tertinggi atau MT bagi sesebuah majlis. Dinner UPKKM ini dilangsung sempena meraikan senior UPKKM yang akan bersara tidak lama lagi serta melantik jawatan tertinggi yang baharu untuk sesi akan datang iaitu sesi 2019/2020. Majlis makan malam kali ini diuruskan sepenuhnya oleh junior dari persiapan awal hinggalah majlis berlangsung.

Sebelum majlis berlangsung, kami mengadakan satu perjumpaan untuk melantik majlis tertinggi dan ketua post bagi memudahkan perjalanan majlis. Izzy dilantik sebagai ketua post jamuan kerana sebelum ini Izzy ada pengalaman sebagai ahli post jamuan dalam majlis makan malam fakulti. Tema yang kami pilih ialah “Retro: Swing to the Beat” yang bertempat di Bilik Konvesyen KKM pada 19 April 2019. Kami setiap post diberi anak buah masing-masing yang terdiri daripada 4 hingga 5 orang bagi memudahkan persiapan majlis.

Skop kerja yang perlu Izzy jalankan sebagai ketua post jamuan adalah menyenaraikan nama caterer dan juga menu serta menyediakan alas meja dan kerusi untuk persiapan tempat. Untuk mencari caterer yang ingin kami gunakan sangat mudah memandangkan MT mencadangkan menggunakan khidmat yang berada di dalam UKM sahaja untuk mengurangkan bajet. Kami iaitu post jamuan sebulat suara memilih Kak Lah Kepala Ikan Merah sebagai caterer kami memandangkan menu makanan yang menarik dan harga yang berpatutan dapat ditawarkan.

Masalah yang kami hadapi adalah apabila caterer tidak mampu menyediakan alas meja yang bersesuaian mengikut tema kami iaitu “Retro: Swing to the Beat”. Setelah berbincang, ketua post dekorasi menyatakan hasrat supaya alas meja yang digunakan berwarna gold dan hitam. Kami terpaksa mencari khidmat luar yang menyediakan perkhidmatan sewa alas meja dan alat catering. Banyak perkhidmatan yang ditawarkan yang berada di sekitar Bangi tetapi harga yang disediakan terlalu mahal dan tidak sesuai mengikut bajet yang dibentangkan dalam kertas kerja. Setelah melakukan banyak pencarian di media social dan laman web, kami akhirnya berjaya menjumpai satu caterer yang mampu memberikan khidmat sewa alas meja pada harga yang berpatutan.

Dalam beberapa hari, majlis akan berlangsung kami junior UPKKM menghabiskan waktu untuk menghias dan mengemas bilik konvensyen. Walaupun penat kerana perlu berjaga sehingga larut malam tetapi berbaloi apabila berjaya menyiapkan tempat dan persiapan yang lain pada waktu yang tepat.Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar dan yang penting sekali ramai yang puji makanan yang disediakan sangat sedap. Bangga kami (post jamuan) kerana telah berjaya memilih khidmat catering yang sesuai. 

Gambar Kenangan

Gambar Kenangan

Lagu Pilihan: Love Me Like You daripada Little Mix 
                     (https://www.youtube.com/watch?v=1WpoKRnoPRU)

“Bring it on
Party, a dancing party to set fire to our youth
Everyone all together party
A dancing party to set fire to our youth”
SNSD

With Love, I.

Wednesday, April 17, 2019

Chapter 17: Ngeri


"Only crime and the criminal, it is true, confront us with the perplexity of radical evil; but only the hypocrite is really rotten to the core."   
Hannah Arendt



Assalamualaikum dan selamat tengah hari. Hari ini perkongsian kita akan berkongsi tentang ulasan daripada sebuah novel terbitan Fixi. Ramai yang bertanya apa itu Fixi? Mungkin ada yang tertanya-tanya dari manakah datangnya nama syarikat ini. Namanya diambil dari perkataan Bahasa Indonesia ‘fiksi’ yang turut membawa makna ‘fiction’ dalam Bahasa Inggeris. Nama Fixi dipilih sebagai simbolik yang menandakan tidak ada apa-apa yang asli dalam dunia pernovelan. Banyak genre yang ditawarkan oleh buku Fixi iaitu psikotik, “mindfuck”, seram dan lain-lain lagi.

Novel yang akan diulas pada hari ini bertajuk Ngeri karya Gina Yap Lai Loong. Novel ini merupakan sebuah trilogi dan mengadungi tiga buah buku. Ngeri merupakan trilogi yang pertama dan diikuti oleh Mangsa dan Obsesi. Cerita ini bertempat di sesebuah unversiti dan melibatkan beberapa orang pelajar sebagai watak utama. Cerita ini mengangkat tema pembunuhan dan misteri.

Versi Lama

Versi Baru


Sinopsis Ringkas:

Novel ini berkisahkan Joanne, Samuel dan Rehan tiga sekawan mahasiswa filem yang bercita-cita besar untuk maju sehingga ke Hollywood. Mereka menghasilkan skrip filem yang sangat hebat dan mengisahkan pembunuhan yang sadis. Malangnya, semua skrip yang dihasilkan sering ditolak oleh professor mereka kerana dianggap tidak logik dan tiada kes seperti tersebut pernah terjadi di Malaysia. Namun mereka tetap tidak berputus asa dan menghasilkan banyak lagi skrip yang hebat. Konflik cerita ini bermula apabila skrip-skrip yang mereka hasilkan satu-satu menjadi kenyataan. Sudah syak-mengesyaki antara satu-sati sama lain. Namun yang sering disyaki ialah Samuel kerana dia menyimpan dendam terhadap professor mereka setiap kali skrip mereka ditolak. Malah mangsa yang terlibat sering mempunyai kaitan dengan Samuel. Apakah kesudahan cerita ini? Benarkan terdapat dua orang pembunuh? Benarkah Samuel si pelakunya. Jangan lupa untuk membeli dan membaca novel ini tau!

Jenis-jenis Pembunuhan yang Dilakukan:

Pembunuhan ‘Pinocchio’ 

Pembunuhan ini dilakukan sangat kejam kerana mangsa akan dibunuh separa mati dahulu kemudian dia akan digantung hidup-hidup seperti ‘Pinocchio’ ditempat yang tinggi supaya dapat menyeksa mangsa dan darah dapat mengalir dengan banyak serta mangsa mati akibat kekurangan darah. Malah mangsa mampu bergerak apabila dawai yang diikat pada mangsa disentuh oleh seseorang. Motif pembunuh sebenarnya untuk melihat mangsa terseksa supaya amarah pembunuh terhadap mangsa terbalas. Pembunuhan ini lebih terpengaruh oleh emosi pembunuh.

Penemuan Mayat dalam Peti Sejuk

Dalam novel ini pembunuh telah meletakkan mayat didalam peti sejuk ais setelah dibunuh. Mangsa telah direbus dalam air yang panas supaya mangsa lebih cepat membeku. Ini disokong oleh teori Mpemba yang menyatakan bahawa air panas akan mengeluwap, yang akan mengurangkan masa dan jumlah air untuk membeku. Alasan lainnya adalah air dalam suhu yang rendah membeku dari atas, sedangkan air panas membeku dari bawah.

Pembunuhan Harta Karun

Pembunuhan ini sangat kejam kerana pembunuh mengerat badan mangsa kepada beberapa bahagian dan meletakkannya ditempat yang berbeza. Hanya petunjuk yang dibekalkan supaya behagian yang dipotong tersebut dapat dicantumkan semula. Motif mangsa adalah untuk menunjukkan bahawa dia berkuasa dan cuba bermain serta mencabar dengan pihak polis atau penyiasat yang akan menyelesaikan kes ini.

Pembunuhan Ala Dokumentari

Mangsa akan diletakkan dan dikunci di dalam sebuah bilik dengan hanya memberikan beberapa makanan dan minuman asa supaya mangsa dapat menahan lapar. Tidak dinafikan ini lebih kejam kerana pembunuh seolah-olah bermain dengan nyawa seseorang. Pembunuh mengandaikan mangsa hanya akan bertahan selama 7 hari sahaja. Setiap hari mangsa akan didokumentari tentang pekara yang dilakukan. Tiada belas kasihan yang diberikan oleh pembunuh.

Bagi Izzy karya yang dihasilkan oleh Gina Yap Lai Loong ini sangat mengagumkan kerana tiada pembunuhan sekejam itu pernah dilakukan di bumi ini. Malah, pihak berkuasa sukar untuk meramal siapakan si pembunuh memandang jenis atau teknik pembunuhan yang dilakukan sangat berbeza dan mangsa turut mempunyai latar belakang yang berbeza. Bayangkalah ye rakan-rakan sekiranya pembunuhan yang sadis dan kejam itu benar-benar berlaku. Sesuailah dengan tajuk sungguh ngeri jika ia benar-benar terjadi. Jadi tidak sia-sia kalau Izzy cadangkan korang semua beli novel ini. Mari kita lari sikit dari kebiasaan dengan cerita pembunuhan yang sangat menyayatkan hati.

Lagu Pilihan: Don't Say No daripada Seohyun
                     (https://www.youtube.com/watch?v=PBYnq_G866U)

"As soon as you wake up,
You look for something new out of habit
Unaware that it is more lethal"
Taeyeon


With Love, I.

Monday, April 15, 2019

Chapter 16: EcoHunt


"Rahasia dalam bisnis itu adalah mengetahui sesuatu yang orang lain tidak mengetahuinya."
Aristotle Onassis 


Assalamualaikum dan selamat malam. Hari ini Izzy akan berkongsi tentang pengalaman Izzy melawat ke Bank Negara. Tujuan Izzy ke bank negara ini sebab untuk memenuhi kehendak salah satu subjek pada semester ini iaitu Makroekonomi. Kami ke sana untuk menjalankan aktiviti yang dipanggil “Eco Hunt” iaitu sebuah aktiviti seolah-olah mencari harta karun. Tetapi dalam skop subjek ini, kami perlu mencari sebanyak 60 soalan dengan melakukan pengimbasan di sekitar kawasan bank negara atau sasana kijang menggunakan aplikasi “HP Reveal”.

Perjalanan kami ke sana menggunakan sebuah bas yang disediakan oleh pihak UKM. Perjalanan kesana menganmbil masa lebih kurang 1 jam 15 minit. Kami dikehendaki untuk memakai baju t-shirt UKM bagi memudahkan pergerakan. Kami telah dibahagikan mengikut beberapa kumpulan yang terdiri daripada 8 hingga 10 orang ahli. Setiap kumpulan dikehendaki membawa sekurang-kurangnya 2 buah laptop bagi memudahkan aktiviti “Eco Hunt”.

Setelah sampai di bangunan Sasana Kijang iaitu sebuah muzium yang berkaitan dengan ekonomi Malaysia, kami dikehendaki beratur dan masuk mengikut kumpulan masing-masing kerana terdapat beberapa pemeriksaan dan pendaftaran yang perlu kami jalani. Setelah selesai pemeriksaan dan pendataran, kami dikumpul dalam sebuah dewan kecil untuk sesi taklimat. Beberapa peringatan telah disampaikan oleh pegawai Sasana Kijang iaitu kami tidak dibenarkan berlari di dalam bangunan ini dan tidak dibenarkan menangkap gambar menngunakan ‘flash’ kerana boleh merosakkan beberapa dokumen atau gambar yang berada dalam muzium.

Kumpulan kami berpecah supaya memudahkan kerja mencari soalan dan juga jawapan yang dikatakan terdapat di sekitar kawasan muzium. Setelah selesai mengumpul semua soalan dan jawapan kami berkumpul di jafe yang disediakan untuk menjawab soalan yang disediakan secara atas talian. Soalan yang disediakan agak sukar memandangkan kami perlu mencari dan menganalisis data yang diletakkan di beberapa laman web milik kerajaan. Menjawab soalan sahaja telah memakan masa lebih kurang 3 jam. Setelah puas, memerah otak kami solat dan berehat seketika. Selepas selesai sesi menjawab, kami dikumpul semula di dalam dewan kecil untuk mengambil kehadiran. Kami menaiki bas yang disediakan oleh pihak UKM untuk pulang ke kolej masing-masing.

Sangat penat kerana boleh dikatakan kami seharian menghabiskan masa di Sasana Kijang. Tetapi apa yang dikesali oleh Izzy adalah kerana terlalu mengejar masa untuk menyelesaikan aktiviti yang disediakan, kami tidak sempat untuk membaca info yang disediakan dan kurang menikmati suasana yang disediakan di Sasana Kijang. Tetapi sekiranya korang semua ingin kesana, memang digalakkan sebab sangat seronok dan infomatif terutama tentang ekonomi Malaysia.

Ahli Kumpulan

Ahli Kumpulan

Lagu Pilihan: Kill This Love daripada Blackpink
                     (https://www.youtube.com/watch?v=2S24-y0Ij3Y)

"The luck that you are is like a sliver of
Chance that I throw myself into
Other people are now staring at us
With popcorn in their mouths"
EXO

With Love, I.


Thursday, April 11, 2019

Chapter 15 : Ekonomi

"Wang bukan satu-satunya jawapan, tetapi itu mampu membuat perbezaan."
Barack Obama

Assalamualaikum dan selamat tengah hari. Hari ini Izzy akan berkongsi tentang alasan Izzy mengambil kos ekonomi. Sememangnya semasa Izzy kecil lagi, tidak pernah terlitas pun dalam pemikiran ini nak ambil kos ekonomi. Masa sekolah rendah sehingga sekolah menengah memang nak sangat menjadi seorang doktor ataupun seorang guru.

Minat ini didorong lagi apabila Izzy berjaya memasuki sekolah berasrama penuh yang semestinya menawarkan subjek sains sahaja. Sebab nak jadi doktor, kita pun ambil sains tulen iaitu gabungan empat subjek sememangnya sukar iaitu Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan. Izzy akui sangat sukar ditambah pula dengan kemalasann yang saya ada membuatkan keputusan SPM Izzy biasa-biasa sahaja.

Sementara menunggu keputusan untuk sambung belajar di mana, Izzy banyak berbincang dengan mama, sama ada nak teruskan mengambil bidang sains atau beralih arah iaitu ke bidang kemanusiaan. Papa ingin Izzy teruskan dengan bidang sains tetapi mama kurang yakin dengan Izzy untuk teruskan bidang tersebut. Izzy pun kurang yakin nak teruskan. Jika Izzy pilih untuk ke bidang kemanusiaan ada dua pilihan untuk sambung belajar iaitu STPM atau diploma.

Alhamdulillah, Izzy ditawarkan untuk memasuki matrikulasi dan jugak diploma perbankan. Tetapi Izzy putuskan untuk sambung belajar di peringkat STPM. Seminggulah masam muka dengan papa sebab dia kurang setuju. Ramai jugak ahli keluarga yang lain tidak setuju dengan keputusan Izzy sebab jujur mereka rasakan STPM ni tidak setaraf dengan matrikulasi atau asasi. Tahan jelah telingan ngan hati apabila dengar mereka membebel.

Masuk STPM, minggu pertama orientasi pening nak pilih subjek piliihan. Tanya mama, abang dan guru-guru ramai yang cadangkan ambil ekonomi, sejarah, pengajian perniagaan dan bahasa melayu. Selesai pemilihan subjek, Izzy pun belajar jelah dengan harapan minat akan muncul. Akhirnya, setelah hampir 2 minggu belajar, minat dah mula ada. Baru berapa minggu belajar, sibuklah nak cari kalau ambil bidang ekonomi boleh kerja apa dan boleh sambung belajar kat mana.

Alhamdulillah, keputusan STPM yang Izzy perolehi membolehkan Izzy memohon kos yang Izzy inginkan. Dan akhirnya saya di sini, sedang menyiapkan kerja kursus yang dibekalkan pensyarah dan belajar dalam bidang ekonomi di UKM.

Lagu Pilihan: Fancy daripada Twice
                    (https://www.youtube.com/watch?v=kOHB85vDuow)

"Lashes and diamonds, ATM machines
Buy myself all of my favorite things (Yeah)"
Ariana Grande

With Love, I.


Monday, April 8, 2019

Chapter 14 : Tunnel

"In a closed society where everybody's guilty, the only crime is getting caught. In a world of thieves, the only final sin is stupidity."
 Hunter S. Thompson

Assalamuaalaikum dan selamat pagi. Hari ini Izzy ingin berkongsi sebuah ulasan terhadap salah satu drama Korea yang menjadi antara kegemaran Izzy. Drama ini bertajuk “Tunnel” yang dibintangi antara pelakon Korea yang terkenal seperti Choi Jin Hyuk, Yoon Hyun Min, Lee Yoo Young dan ramai lagi. Drama ini berkisahkan tentang pembunuhan dan yang lebih menarik latar masa yang digunakan oleh penulis menggabungkan dua waktu iaitu sekitar tahun 1980-an dan 2000-an.

Poster Rasmi Tunnel


Sinopsis Ringkas:
Pada tahun 1986, Detektif Park Kwang Ho daripada Unit Jenayah Serius di Balai Polis Hwayang cuba menyeselaikan satu siri pembunuhan yang mensasarkan para wanita. Setiap mangsa akan ditandai dengan titik bulat mengikut urutan mangsa yang dibunuh pada pergelangan kaki mereka mendatangkan kemusykilan kepada pihak polis Hwayang ketika itu. Detektif Park hampir dapat menyelesaikan kes tersebut tetapi dia tersandung pada rel kereta api yang terdapat di dalam terowong tersebut di mana salah seorang mangsa ditemui. Tetapi dia pengsan kerana telah dipukul dengan batu berat oleh si pembunuh.

Apabila dia sedar, Detektif Park telah memasuki waktu yang berbeza iaitu 30 tahun selepas tahun 1986. Banyak yang telah berubah dan dia cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan setempat. Akhirnya dia memilih untuk bekerja sama dengan Unit Jenayah Serius Balai Poilis Hyawang pada masa tersebut untuk mencari ahli keluarganya. Namun keadaan bertambah rumit apabila kes yang pembunuhan yang sama pada tahun 1986 telah kembali semula. Muncul watak-watak baharu yang turut terlibat dalam penyelesaian masalah. Seorang pakar psikologi jenayah, seorang detektif muda, seorang pakar forensic dan juga seorang pembunuh psiko baru. Konflik terjadi apabila ramai yang menjadikan pembunuh psiko itu sebagai suspek utama tetapi Detektif Park sedar bahawa teknik pembunuhan yang digunakan tidak sama tetapi hanya terinspirasi oleh kes pembunuhan tersebut. Siapakan pembunuh bersiri tersebut? Mampukah Detektif Park pulang ke zaman asalnya dan menemui keluarganya?

Kes Pembunuhan Hwaseong
Penulis telah terinspirasi dengan kisah pembunuhan bersiri yang dikenali sebagai Pembuhanan Hwaseong yang berlaku sekitar tahun 1986 hingga 1991.  Wanita-wanita yang berumur antara 14 hingga 71 tahun, masing-masing dijumpai dalam keadaan yang sadis, dirogol dan dibunuh selama tempoh empat tahun dan tujuh bulan di bandar pedalaman Hwaseong di daerah Gyeonggi. Setiap wanita tersebut dicekik mati dengan pakaiannya sendiri. Namun begitu, kes tersebut telah ditarik balik pada bulan Julai 2015 oleh Dewan Negara disebabkan oleh undang-undang batasan untuk pembunuhan di Korea Selatan adalah lima belas tahun. Undang-undang untuk pembunuhan telah tamat pada 2 April 2006. Sehingga sekarang pembunuh masih tidak dijumpai walaupun banyak petunjuk yang mengelirukan dijumpai.


Pembunuhan Menggunakan Stoking Wanita
Dalam cerita ini pembunuh telah menggunakan stoking wanita kerana dia dapat mencari kepuasan dalam membunuh dan kesan jari cari sukar untuk dikesan. Penulis telah menggambarkan bahawa pembunuh telah dibesarkan dalam keluarga yang pincang kerana ibunya seorang pelacur. Dia sering dibohongi oleh ibunya dan akibatnya ramai yang menggelar ibunya sebagai perempuan yang jijik dan kotor. Dia juga trauma apabila melihat perempuan yang memakai stoking kerana ibunya sering memakai stoking seperti itu apabila melakukan pekerjaan terkutur tersebut. Kesannya, dia akan membunuh wanita-wanita itu kerana rasa dendam terhadap ibunya.

Kisah ini sangat menarik kerana terinspirasi dengan kisah sebenar dan mempunyai jalan cerita yang berada di luar jangkaan penonton. Kisah ini menjadi simbolik ke warga Korea Selatan sebagai tanda ingatan kepada para mangsa dengan harapa jalan pengakhiran yang direka oleh penulis mampu menenangkan keluarga mangsa. Sebenarnya banyak lagi drama korea yang mengangkat kisah ini seperti Signal, Memories of Murder dan Criminals Mind.  Sememangnya, Izzy mengajak korang semua untuk melihat cerita ini kerana bukan sahaja mempunyai tema pembunuhan tetapi mengakat juga tema kekeluargaan.

Lagu Pilihan : How Long daripada Charlie Puth
                        (https://www.youtube.com/watch?v=CwfoyVa980U)

"Like a flash of light in the darkness

You pull me over"
Mad Dog

With Love, I.

Friday, April 5, 2019

Chapter 13 : Sleep Paralysis


“Ya Allah, telah malap bintang-bintang, dan telah tenang mata-mata manusia, dan Engkau maha berkuasa, Wahai yang Maha Berkuasa, lelapkanlah mataku dan tenangkanlah malamku ini.”
Rasulullah S.A.W

Assalamualakum dan selamat petang awak-awak sekalian. Hari ini mari Izzy kongsikan anda semua dengan satu penyakit yang dipanggil “Sleep Paralysis”.

Apa itu “Sleep Paralysis”?
Merupakan satu perasaan yang kita sedar tetapi tidak mampu untuk bergerak. Ia berlaku apabila seseorang berlalu di antara tahap kebangkitan dan tidur. Semasa peralihan ini, anda mungkin tidak dapat bergerak atau bercakap selama beberapa saat sehingga beberapa minit. Sesetengah orang juga mungkin merasa tekanan atau rasa tercekik. Ia turut diiringi gangguan tidur yang lain seperti Narcolepsy. Narcolepsy adalah keperluan yang kuat untuk tidur disebabkan oleh masalah keupayaan otak untuk mengatur tidur.

Gambaran "Sleep Paralysis"


Fakto-faktor yang Menyebabkan “Sleep Paralysis”
  • Kurang tidur
  • Jadual tidur yang sering berubah
  • Keadaan mental seperti tekanan atau gangguan bipolar
  • Tidur secara membelakangi
  • Masalah tidur lain seperti Narkolepsi atau kekejangan kaki waktu malam
  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti ADHD
  • Penyalahgunaan ubat-ubatan atau dadah

Rawatan yang Boleh Diterima
  • Membaiki tabiat tidur - seperti memastikan anda mendapat enam hingga lapan jam tidur setiap malam
  • Menggunakan ubat antidepresi jika ditetapkan untuk membantu mengawal masa tidur
  • Mengubati masalah kesihatan mental yang mungkin menyumbang
  • Mengubati sebarang gangguan tidur yang lain, seperti Narkolepsi atau kekejangan kaki

Kenapa berkongsi?

Antara alasan yang Izzy berkongsi kisah ini kerana Izzy pernah mengalaminya sebanyak tiga kali. Pada mulanya rasa lumpuh yang biasanya seperti kita melihat diri kita sedang tidur tetapi tidak mampu untuk bangun. Kali kedua, Izzy kena diikuti dengan mimpi yang sangat buruk dan menakutkan. Pada mulanya Izzy beranggapan bahawa ini biasa sahaja tetapi pada kali ketiga ia diikuti dengan mimpi yang sangat buruk dan seperti seseorang sedang memerhatikan Izzy. Sejak pada itu sebelum tidur Izzy akan pasang ayat-ayat al-Quran dan apabila hampir terlelap Izzy akan tutup. Orang yang paling risau ialah mama. Mula-mula kena mama terus tawarkan yang dia boleh teman Izzy tidur. Izzy ada juga baca yang penyakit ini ada kaitan dari segi agama juga tetapi untuk setakat ini ia masih terkawal dan tidak perlu mendapat bantuan pakar.

Lagu Pilihan : Goodnight daripada Dreamcatcher
                      (https://www.youtube.com/watch?v=Lxfl8LRab_I)

"I’m OK
Don't comfort me
You don't have to have pity on me
You don't have to stay with me, I'm fine
I’m OK"
Ikon

With Love, I.

Thursday, April 4, 2019

Chapter 12 : Garam


"My life is an open book. You're welcome to speculate."
Karan Patel



Assalamualaikum dan selamat tengah hari. Hari ini perkongsian kita akan berkongsi tentang ulasan daripada sebuah novel terbitan Fixi. Ramai yang bertanya apa itu Fixi? Mungkin ada yang tertanya-tanya dari manakah datangnya nama syarikat ini. Namanya diambil dari perkataan Bahasa Indonesia ‘fiksi’ yang turut membawa makna ‘fiction’ dalam Bahasa Inggeris. Nama Fixi dipilih sebagai simbolik yang menandakan tidak ada apa-apa yang asli dalam dunia pernovelan. Banyak genre yang ditawarkan oleh buku Fixi iaitu psikotik, “mindfuck”, seram dan lain-lain lagi.

Novel yang ingin Izzy ulas pada hari ini ialah novel yang bertajuk Garam karya Ruwi Meita iaitu seorang penulis yang berasal dari Indonesia. Novel ini bertemakan penyiasatan dan psikotik merupakan sebuah karya yang mempunyai jalan cerita yang sangat hebat dan berada diluar jangkaan. Latar berlakang cerita ini digambarkan berlaku di Surabaya.

Sinopsis Ringkas:

Novel ini berkisah seorang inspector yang bernama Kiri Lamari yang perlu menghadapai sebuah kes pembunuhan yang sangat luar biasa. Pembunuhan itu sangat kejam dan licik yang jelas menggambarkan betapa bijaksana dan liciknya si pembunuh. Mangsa pembunuhan akan ditemui dalam keadaan diselaputi oleh garam dan organ dalaman mangsa akan dibuang tanpa sebarang kesan tusukan atau koyakan supaya mayat yang ditinggalkan di dalam rumah tidak berbau. Kes pembunuhan ini telah berlaku sebanyak tiga kali dalam masa setahun yang melibatkan semua mangsa perempuan tetapi memiliki latar belakang yang berbeza. Agak sukar untuk mengetahui motif yang cuba disampaikan oleh pembunuh. Terdapat beberapa watak yang muncul iaitu teman wanita Kiri Lamari, seorang pengarah seni dan juga pengemis kecil-kecilan. Apa kaitan mereka dengan kes ini? Jadi Izzy sarankan korang semua yang membaca blog ini untuk tidak melepaskan peluang untuk membeli dan menyelami kisah dalam novel ini.

Novel Garam

Garam?

Kenapa penulis menggunakan Garam? Itu persoalan pertama yang muncul dalam pemikiran Izzy. Setelah mengakhiri novel ini barulah Izzy faham. Kisah ini walaupun mengusung tema utama iaitu psikotik dan penyiasatan tetapi masih mempunyai nilai-nilai keagamaan dalam novel ini. Rahadian dan Matari yang telah dibesarkan dalam sebuah keluarga yang agak pincang apabila ibu mereka telah menghidapi sakit mental. Kesannya, telah dirasai oleh mereka apabila mereka membuat sesuatu kesalahan, mereka akan dipaksa untuk makan sesuap garam. Hal ini kerana, ibu mereka yang mempercayai bahawa garam mampu membersihkan dosa yang telah dilakukan. Penulis cuba mengaitakan kepercayaan ibu mereka dengan kisah isteri Nabi Luth a.s yang ingkar terhadap arahan suaminya sehingga dihukum oleh Allah S.W.T menjadi setiang garam akibat terlalu memikirkan tentang hal duniawi. Begitu juga dengan rakyat di Kota Sodom yang ingkar dan tidak mahu patuh kepada ajaran Nabi Luth a.s dan agama Allah S.W.T sehingga diterbalikkan kota tersebut dengan lautan mati paling masin. Kesan fizikal dan mental yang dirasai oleh kembar tersebut memaksa menyebabkan mereka berdendam dengan ibu mereka sehingga mereka melepaskan rasa dendam itu terhadap mangsa pembunuhan mereka. Hal ini yang tidak berjaya disedari oleh pihak polis kerana semua mangsa berkongsikan satu persamaan iaitu pernah melakukan dosa yang sangat besar.

Kota Sodom

Proses Pengawetan dan Mumia

Dalam novel ini terdapat satu bahagaian yang menceritakan bagaimana organ mangsa di keluarkan tanpa sebarang kesan tusukan atau koyakan. Pembunuh menggunakan cara yang agak kejam dan tidak berperikemanusiaan. Contohnya, otak mangsa di keluarkan dengan memasukkan satu jarum melalui hidung mangsa sehingga tembus ke bahagian otak dan pelaku akan mengacau atau memusingkan jarum itu sehingga otak tersebut cair dan keluar melalui hidung. Proses ini untuk memastikann bahawa mayat tidak rosak dan tidak membusuk.

Selepas proses mengeluarkan organ selesai, pembunuh akan menyelaputi mangsa dengan gram dan membakarnya di dalam oven pada suhu yang tinggi supaya garam tersebut tidak tertanggal daripada badan mangsa. Proses pengawetan dan mumia menggunakan garam ini sebenarnya telah dilakukan oleh sesebuah masyarakat terdahulu untuk proses pengebumian mengikut kepercayaan dan adat setempat. Pembunuh telah terinspirasi oleh cara tersebut dan mengolahnya ke cara yang lebih moden.

Pengawetan Mayat


Akhir sekali, Izzy memang sangat menghormati penulis Ruwi Meita kerana karya yang dihasilkan sangat bijaksana dan luar biasa. Jalan cerita yang sukar diramalkan dan sememangnya lari dari norma kehidupan biasa sangat menarik perhatian biasa. Harap-harap suatu hari nanti dapat bertemu beliau dan bertanyakan sendiri bagaimana dan apa yang mengispirasikan beliau untuk menulis novel. Banyak lagi novel karya Ruwi Meita iaitu seperti Alias dan Rumah Lebah yang boleh korang dapatkan. Tetapi sebelum tu jangan lupa beli novel Garam kerana memang tidak akan menyesal.

Lagu Pilihan: Hann daripada (G)I-DLE
                     (https://www.youtube.com/watch?v=OKNXn2qCEws)

"Keep your love unchanging
for my wounded heart
Looking in your eyes,
no words are needed, time has stopped."
SNSD

With Love, I.

Chapter 27: Me & Myself

"Some days are just bad days, that's all. You have to experience sadness to know happiness, and I remind myself that not every da...