"The focus of 'Flower' is emotion and to make you feel
peaceful."
Jenova Chen
Assalamualaikum and selamat pagi. Hari ini perkongsian Izzy
merupakan sebuah cerpen yang ditulis sendiri oleh Izzy sempena terbitnya pokok
bunga ala-ala Sakura di UKM pada tahun yang lalu.
Seolah-olah di Jepun
“Anak puan disahkan
menghidapi End Stage Renal Disease (ESRD) atau penyakit buah pinggang peringkat
akhir”, kata Doktor Adirah. Aku dapat rasakan betapa luluhnya dan hancurnya
hati mama apabila tahu kakak menghidapi penyakit tersebut. Aku pun seperti itu,
siapa sangka kak Medina seorang yang cergas dan sentiasa tersenyum akan melalui
satu peringkat yang menyakitkan sepanjang hidupnya. Hancurnya hati mama
sehingga dia tak mampu untuk meluahkan kata-kata. Aku hanya mampu berdiri dan memeluk
bahu mama untuk menenangkannya. Bila-bila sahaja air mata mama akan mengalir
seperti sungai yang deras mengenangkan nasib yang menimpa kami sekeluarga. Ya,
detik pahit ini kami telan bersama-sama kerana kami sebuah keluarga. Bukankah
keluarga itu perlu saling menyokong antara satu sama lain?
Doktor Adirah
menerangkan penyakit ESRD itu dan rawatan yang akan dijalankan. “Secara
umumnya, penyakit buah pinggang peringkat akhir, berlaku apabila buah pinggang
kehilangan fungsi secara berperingkat. Pada peringkat ini, buah pinggang tidak
dapat menjalankan fungsi dengan sebaiknya. Ginjal kita berfungsi untuk menapis
sisa dan lebihan cecair daripada darah, di mana sisa dan lebihan cecair ini
diekskresikan ke dalam air kencing. Apabila, ginjal kita kehilangan kemampuan
untuk menapis, paras cecair yang merbahaya, elektrolit dan sisa akan berkumpul
di dalam badan. Hal ini yang menyebabkan berlaku ESRD. Saya sarankan anak puan
menjalani rawatan dialisis tetapi rawatan ini tidak begitu mudah seperti yang
puan sangkakan. Anak puan perlu kuat untuk menjalani rawatan ini. Sekiranya
tidak, rawatan terakhir ialah pemindahan buah pinggang. Untuk rawatan ini kita
boleh menunggu penderma buah pinggang atau puan dan sekeluarga ada yang sanggup
untuk menderma saya sangat galakkan”, terang Doktor Adirah.
Selesai sahaja
pertemuan dengan Dr. Adirah, mama dan aku pulang ke rumah. Kakak dijaga oleh
Nek Som iaitu pembantu rumah memandang esok masih hari bekerja dan aku perlu ke
kuliah. Mama jelas kelihatan murung memikirkan keadaan kakak. Kami berharap
yang ujian dijalankan ke atas kami akan menunjukkan hasil positif. Untuk
menunggu penderma organ terutamanya buah pinggang memakan masa yang lama. Jadi,
aku dan mama sanggup menderma buah pinggang kami kepada kakak.
Seminggu berlalu,
dan nampaknya nasib tidak menyebelahi kami apabila hari yang ditunggu-tunggu
menunjukkan kami berdua tidak sesuai untuk menderma buah pinggang kepada kakak.
Mama semakin buntu dan jarang-jarang turun makan. Dia hanya duduk di dalam
bilik membuat kerjanya dan hanya menerima panggilan jika perlu. Aku juga stress
memikirkan keadaan kakak ditambah pula dengan tugasan yang diberi pensyarah
semakin banyak.
Tabebuia rosea - Tabebuia rosea juga dikenali sebagai pokok
tekoma di Malaysia adalah pokok neotropikal yang tumbuh sehingga 30 m (98 kaki)
dan boleh mencapai diameter pada ketinggian dada hingga 100 cm (3 kaki).
Ketahanan bunga tekoma sebelum ia luruh dan berkembang penuh bergantung kepada
suhu panas musim kemarau. Bunga tersebut akan mula gugur sepenuhnya sekiranya
hujan mula turun. Mempunyai berbagai-bagai warna seperti warna putih, merah
jambu, kuning, lavender, magenta, dan merah.
“Seolah-seolah berada di Jepun, pokok bunga sakura (Malaysia)
menghiasi pemandangan sekitar UKM”
Najwa membaca kuat
tajuk berita di tablet miliknya, mengganggu aku yang sedang sibuk memikirkan
masalah aku sekeluarga. “Jom kita pusing-pusing UKM Athi”, sampuk Najwa. Aku
hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepala sebagai respon terhadap
soalannya sebentar tadi. “Janganlah stress, aku tahu yang kau tengah ada
masalah. But life must go on beb”, pujuk Najwa. Betul apa yang dikatakan oleh
Najwa tetapi dia tidak akan faham apa yang aku sedang rasa sekarang ini. Sudah
menjadi lumrah kehidupan, selagi tak kena batang hidung sendiri manusia tidak
akan dapat rasa apa yang manusia lain alami. Itulah Homo sapiens, karya
teragung ciptaan tuhan yang begitu kompleks kewujudannya.
“Ramainya orang.
Memanglah orang sekarang viral sikit je terus nak serbu tempat tu”, kata Najwa
sambil matanya melilau memerhati sekekeling. Kereta Axia berwarna merah milik
Athifah yang dihadiahkan oleh mama 6 bulan lalu diparkir di bahu jalan. “Kau
turunlah aku tunggu dalam kereta sahaja”, kata Athifah. “Okay, bagi aku 15
minit lepas tu kita gerak”, kata Najwa sambil membuka pintu kereta untuk turun.
Athifah ralit memerhati sebuah keluarga yang sibuk bergambar di bawah pokok
sakura Malaysia itu. Keluarga itu persis seperti keluarganya sekiranya papa
tidak pergi tinggalkan mereka untuk pulang ke Jepun. “Papa”, kata Athifah
perlahan. Akhirnya terucap perkataan keramat tersebut daripada mulut Athifah
setelah sekian lamanya dia tidak mengucapkan perkataan tersebut. Terus muncul
satu buah fikiran yang belum difikirkannya sebelum ini.
“Mama tak benarkan
Athi pergi. Athi tahukan kat sana bahaya dan apa yang keluarga lelaki tu boleh
buat pada Athi. Cukuplah apa yang menimpa pada kak Medina, mama tak sanggup
untuk kehilangan Athi juga”, kata Puan Husnina dengan tegasnya. “Mama lelaki tu
suami mama dan juga papa Athi dan Kak Medina. Dan lagi satu mama tak kehilangan
sesiapa pun. Kak Medina dan Athi masih ada di sini cuma keadaan sekarang yang
tidak menyebelahi kita”, kata Athifah lembut dengan harapan mama akan termakan
pujukannya ini. “Tak mama takkan benarkan Athi ke sana. Banyak lagi alternatif
yang kita boleh cari untuk selamatkan Kak Medina”, kata Puan Husnina tegas dan
terus berpaling ke belakang. Athifah diam seketika. Dia memberi peluang untuk
mama menelan segala kepahitan yang dia rasa. Mama memang cukup pantang apabila
kami atau orang lain menanyakan tentang papa. Setelah Athifah merasakan mamanya
susah sejuk dan stabil dia cuba untuk memujuk mamanya kembali. “Mama, tolonglah
benarkan Athi ke sana. Athi sayangkan Kak Medina macam mana mama sayangkan dia.
Kita usaha mama. Mungkin ini salah satu jalan penyelesaian yang Allah S.W.T
tunjukkan untuk kita”, kata Athifah sambil dia memeluk Puan Husnina daripada
belakang. Puan Husnina mengeluh. Dia kenal sangat perangai anaknya yang keras
kepala itu. Kalau itu yang dikata, itulah juga jawapannya. Sikap Athifah yang
tidak mahu mengalah ini mengingatkan dia pada seseorang. “Baiklah, mama
benarkan tapi hanya 4 hari sahaja Athi ke Jepun. Selepas itu, jumpa atau tidak
mama nak Athi pulang ke Malaysia”, kata Puan Husnina. Athifah tersenyum dan
menghadiahi Puan Husnina satu ciuman di dahi sebagai tanda terima kasih kerana
membenarkannya untuk ke Jepun.
Lamunannya terhenti
apabila pemandu teksi itu mengatakan bahawa dia telah sampai di destinasinya.
Athi mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi itu dan terus melangkah ke
dalam hotel.
Keesokkan harinya,
selepas solat Subuh Athifah terus bersiap dan turun ke bawah untuk sarapan
pagi. Misinya hari ini untuk ke rumah papanya. Alamat rumah dan gambar telah
diberikan oleh mama. Dia merasa sangat gementar tetapi gembira kerana akan
bertemu dengan papa. Apa reaksi papa apabila melihatnya? Anak yang tidak pernah
dijumpainya.
Athifah menaiki
teksi ke sana dan malangnya rumah tersebut sudah tidak berpenghuni. Menurut
orang setempat, papa Athifah sudah lama berpindah kira-kira 20 tahun yang lalu.
Athifah cuba untuk mendapatkan maklumat tentang di mana papanya berpindah.
Tetapi mereka tidak mengetahuinya. Hari itu diakhiri dengan begitu sahaja.
Athifah pulang dengan hampa. Sampai sahaja di bilik dia terus menghempaskan
badannya di atas katil yang empuk itu. Dia berbaring di atas katil dan
termenung sambil memikirkan bagaimana dia ingin mencari papanya. Kadang-kadang
lamunannya terhenti dan dicampur dengan memori bersama-sama kakaknya ketika dia
kecil. Lantas dengan itu, dia teringat sesuatu yang pernah dikongsi oleh
kakaknya tentang papa. Dari situ dia tahu yang papa tidak jahat dan dia yakin
papa meninggalkan mereka kerana bersebab. “Papa dulu seorang peniaga sebab papa
pandai buat takoyaki. Setiap malam papa akan buka gerai dihadapan rumah kita
dan menjual di sana”, cerita kak Medina kepadanya. Kadang-kadang dia cemburu
pada kakaknya kerana pernah mempunyai memori bersama-sama papa. Dia, belum
tentu papa tahu tentang kewujudannya di dunia ini.
Keesokkannya,
Athifah berusaha mencari setiap kedai yang menjual takoyaki untuk mencari papa.
Firasatnya kuat mengatakan papa akan membuka kedai takoyaki di sini untuk
menyara keluarganya. Setiap kedai dicari dan ditanya tetapi jawapannya tetap
sama. Tidak, mereka tidak mengenali atau pernah mendengar tentang lelaki ini.
Akhirnya, dia berehat di sebuah gerai makan yang terletak di sebelah pokok
sakura yang sangat besar. Hari sudah lewat malam dan Athifah sudah penat
mencari. Esok merupakan hari terakhir untuk dia mencari papanya. Dia hampa dan
kecewa. Mungkin betul apa yang mama katakan. Dia tidak akan pernah menjumpai
papanya. Mungkin dia sudah bahagia bersama keluarganya yang lain. Sambil
mengeluh memikirkan tentang permasalahannya, tiba-tiba bahunya ditepuk oleh
seseorang. Dia terkejut dan berpaling ke belakang. Seorang lelaki yang berumur
lebih kurang 17 tahun menegurnya. “Miss, why are sitting outside alone? Come
inside and try our halal food.” kata lelaki itu dengan manisnya tetapi
mempunyai nada yang teragak-agak. “Mungkin masih belum fasih berbahasa
Inggeris”, teka Athifah. Memandangkan Athifah berasa sangat lapar dia masuk ke
dalam kedai sambil mengikuti langkah lelaki itu.
Sambil menunggu
pesanan, dia melihat dekorasi kedai ini yang sangat unik berbanding gerai
makanan Jepun yang lain. Pesanan makanan Athifah telah siap dan dihidangkan di
hadapannya. Sebelum lelaki itu pergi, sempat Athifah bertanyakan soalan. “Did
you know this guy?” tanya Athifah sambil menunjukkan gambar papa. “He is my father.Why?”
tanya lelaki itu semula kepada Athifah. Athifah terkejut dengan jawapan lelaki
tersebut. “Wait here, I will call him at the back”, kata lelaki tersebut sambil
melangkah ke bahagian belakang yang mana bahagian dapur berada.
Athifah menunggu dengan
penuh debaran. Akhirnya lelaki yang ditunggu-tunggu muncul juga. Wajah dan
tubuh badannya persis dengan apa yang kak Medina gambarkan. Wajahnya berbentuk
bujur, tubuhnya sedikit gempal, kulitnya yang putih melepak dan rambut hitamnya
yang begitu lebat. Athifah hanya mampu mengalirkan air mata yang jelas
menunjukkan kerinduannya pada insan yang satu ini.
“Kak Medina sakit”,
itu sahaja yang mampu Athifah katakan. Kyoichi Toma mendengar sambil
memerhatikan anak perempuannya yang tak pernah dia temui sebelum ini. Iras
mukanya mengingatkan dia pada Husnina membuatkan hatinya bertambah sebak. “She
need you.I know I come not at the right time. But please help us. We can’t lose
her”, rayu Athifah. Athifah tahu dia tidak patut meminta yang bukan-bukan pada
pertemuan pertama mereka. Tetapi itu sahaja jalan yang mampu menyelamatkan
kakaknya dan memperbaiki semula hubungan papa dan mama. “Give me a time to
think and discuss we my son about it”, kata Kyoichi Toma. Athifah mengangguk
kepala dan memberi ruang untuk mereka berbincang. Setelah 30 minit masa
berlalu, Kyoichi Toma keluar. “I will help Medina because she my child”, kata
Kyoichi Toma. Athifah berasa sebak dan gembira lalu memeluk Kyoichi Toma tanpa
dia sedari.
Kepulangan mereka
disambut oleh Encik Rahmat iaitu jiran Athifah. Alasannya, mama terlampau sibuk
dengan kerja dan untuk menguruskan kak Medina di hospital. Tidak tahu itu hanya
alasan bagi mama untuk tidak bertemu papa atau tidak. Hanya Puan Husnina sahaja
yang tahu. Keesokannya, kami sekeluarga ke hospital untuk melakukan ujian
kesihatan ke atas papa. Berita gembira kami terima. Ginjal papa sesuai untuk
didermakan kepada kak Medina tetapi papa perlu mengurangkan berat badannya
dalam tempoh 2 bulan sebelum pembedahan itu dijalankan. Sepanjang tempoh itu,
papa akan tinggal bersama-sama kami. Layanan yang mama berikan masih sahaja
dingin kepada papa. Aku berasa kesian kepadannya namun hati mama masih sukar
untuk dipujuk. Tetapi aku tidak berputus-putus berdoa kepada Allah S.W.T agar
mama memaafkan papa.
Sepanjang tempoh
itu papa juga cuba menjernihkan hubungannya dengan mama. Aku nampak usaha itu
dan kadang-kadang aku turut membantu papa dalam memperbaiki semula hubungannya
dengan mama. Sehingga papa akhirnya membuka mulut tentang kepulangannya ke
Jepun semula ketika kak Medina masih kecil dan aku masih berada dalam
kandungan.
Mama berkenalan
dengan papa melalui Ayane Eriko iaitu sahabat baik mama dan papa. Mereka
bertiga sering bersama-sama samada di unversiti ataupun di luar. Ayane sangat
baik kerana sering membantu mama sepanjang mama berada di Jepun. Tanpa sedar,
papa telah jatuh cinta pada mama dan juga kepada islam. Hubungan mereka menjadi
lebih rapat membuat Ayane berasa tersisih dan cemburu. Apabila papa menganuti
islam dan menyatakan hasratnya untuk mengahwini mama, keluarga papa membantah
dan tidak bersetuju dengan keputusan itu. Tetapi kerana cintanya papa pada
islam dan mama akhirnya papa mengajak mama pulang ke Malaysia dan mendirikan
rumah tangga di sana. Keberangkatan papa ke Malaysia menyebabkan Ayane murung
dan mengalami depresi. Di Malaysia, papa dan mama tinggal di rumah sewa yang
agak kecil. Keadaan mama yang merupakan anak yatim piatu dan tidak mempunyai
keluarga terdekat yang lain semakin menyulitkan keadaan. Papa terpaksa bekerja
sambilan untuk menyara keluarganya.
Sehinggalah satu
hari, panggilan dari Jepun untuk papa menandakan kemelut ini semakin sukar
untuk diselesaikan. Panggilan tersebut merupakan panggilan daripada ibu Ayane
yang memujuk papa untuk pulang ke Jepun kerana keadaan anaknya yang semakin
kritikal. Disebabkan rasa kesian dan terhutang budi dengan keluarga Ayane yang
sememangnya papa rapat sejak daripada kecil menyebabkan papa mengambil
keputusan untuk pulang ke Jepun. Dengan hati yang berat papa meninggalkan mama
dan berjanji akan pulang sebelum aku dilahirkan. Siapa sangka keberangkatan itu
bukan menjanji sebuah kepulangan tetapi pemergian yang tak begitu pasti
kepulangannya.
Di Jepun, papa
diminta untuk mengahwini Ayane sebelum kemurungannya menjadi semakin teruk
sehingga boleh membawa kematian. Tanpa rela papa berkahwin dengan Ayane. Semua
media untuk berhubung dengan mama telah disekat oleh keluarga papa. Hasil
perkahwinan tersebut lahirlah seorang perwira mirip wajah Ayane. Tetapi perkahwinan
itu tidak bertahan lama kerana Ayane terlibat dalam satu kemalangan jalan raya
ketika pulang daripada kerja. Sebelum meninggal dunia Ayane ada meninggalkan
sepucuk surat kepada mama.
Air mata mama
berderai laju setelah membaca surat milik ayane. “I am sorry for not being good
friend for you”. Dia turut memuji papa kerana baginya papa ialah lelaki paling
terbaik yang pernah dia jumpai. Kesetiaannya pada mama membuat Ayane sedar akan
cinta papa terlalu dalam terhadap mama. Setiap kali sebelum tidur Ayane tahu
papa akan melihat gambar milik mama dan anak perempuannya. Ayane juga berhajat
untuk ke Malaysia untuk meminta maaf kepada kami kerana merampas papa tetapi
malangnya takdir lebih menyayanginya.
Mama menangis
selepas mendengar cerita papa. Dia tidak tahu apa keperitan yang dilalui oleh
mereka berdua di sana. Sepanjang tempoh 3 bulan untuk papa menguruskan badan
bagi mencapai berat badan yang ideal untuk proses pemindahan ginjal buat Kak
Medina, aku dapat melihat bagaimana hubungan papa dan mama menjadi semakin baik
dan harmoni. Akhirnya Allah S.W.T membuka pintu hati mama untuk memaafkan papa
setelah lama api kemarahan itu terus membara dalam hati mama.
Akhirnya, hari yang
dinanti-nantikan oleh semua telahpun tiba. Ujian kesihatan dijalankan dan papa
berjaya untuk menurunkan berat badan. Pemindahan ginjal berjaya dijalankan dan
kami hanya menunggu bagi tempoh untuk papa dan kak Medina untuk sembuh.
“Ya Allah ya
Tuhanku, berilah aku petunjuk untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau limpahkan
kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebaikan di
jalan yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam
golongan hamba-hamba-Mu yang soleh”, kata Athifah menunjukkan perasaan syukur
kepada-Nya atas segala kenikmatan dan kebaikan yang diberikan. Selesai solat
subuh Athifah turun ke bawah membantu ibunya menyediakan juadah untuk mereka
berkelah sebentar lagi.
Di bawah pokok
sakura yang mekar berkembang, kami sekeluarga sedang rancak berborak antara satu
sama lain. “Kore o mite, kore wa sakunen, marēshia o sakaseru sakuradesu.
Kanari tadashī? We call it Malaysian Sakura”, kata Athifah dengan teragak-agak
kerana dia masih tidak fasih berbahasa Jepun kepada Kyoichi Izumi. Dia
menunjukkan pokok tekoma atau sakura Malaysia yang sedang mekar di Malaysia
melalui gambar di telefon pintarnya. Kyoichi Izumi atau Muhammad Izumi
merupakan anak lelaki hasil perkahwinan papa dan Ayane. Izumi sekarang
mengambil alih perniagaan papa di Jepun manakala papa membuka perniagaan baharu
di Malaysia. Setiap kali cuti panjang kami sekeluarga akan melawat Izumi di
sini. Kak Medina semakin sembuh dan memulakan perniagaan atas taliannya yang
menjual barangan kecantikan muslimah dari Jepun.
Perkelahan di bawah
pokok Sakura sangat bermakna bagi aku kerana sakura-lah yang menemukan kami
sekeluarga kembali. Kecantikan bunga sakura melambangkan kegembiraan yang
terlahir dalam diri aku. Tidak ada orang yang tidak gembira melihat hamparan
keindahan alam sekitar ciptaan tuhan yang tersergam dengan luasnya. Tetapi
bukan semuanya akan menjadi indah kerana setiap kehidupan pasti ada halangan
dan cabaran yang perlu dihadapi.
Jadi, kesedihan itu
tidak harus diratapi. Kesedihan itu adalah sebagian kecil dari seni untuk
meniti kehidupan. Kesedihan akan menjadi tonggak kebahagiaan sekiranya kita
tidak berputus asa dalam mengharungi ujian hidup. Bunga ini begitu tepat untuk
melukiskan kebahagiaan dan kesedihan pada waktu yang sama karena begitulah
lumrah hidup.
Bunga sakura
mengingatkan manusia agar selalu bersyukur sebagai penghargaan atas kehidupan
dan kesedihan. Bunga kehidupan ini sebagai peringatan bahawa segala hal
memiliki pro dan kontra, di mana ada senang dan sedih, ada hidup dan mati.
Bunga kehidupan itu memberikan keindahan bagi jiwa-jiwa tidak tenang. Jiwa-jiwa
yang terus mencari makna kehidupan yang sesungguhnya. Sedangkan makna kehidupan
itu tidaklah jauh, ia ada di dalam jiwa.
Lagu Pilihan: My Love daripada Lee Hi
(https://www.youtube.com/watch?v=2esIsqSXJa8)
"Your smile, even your scent
I’ve always waited, counting down
with my fingers
No matter where I am, it’s only you"
I.O.I
With Love, I.
No comments:
Post a Comment